jump to navigation

Cabaran dan peluang

Cabaran dan peluang perbankan Islam di Malaysia

Pengenalan

KRISIS kewangan kapitalis global yang bertunjangkan mekanisme riba, tekanan faedah berganda dan penindasan kini sedang melumpuhkan sektor perbankan dan ekonomi Amerika Syarikat (AS), Eropah dan beberapa negara dalam sekelip mata, sedang usaha pemulihannya masih buntu serta belum ada tanda ekonomi beransur pulih. Dalam masa sama episod hitam itu secara relatifnya membuka mata masyarakat dunia kepada potensi sebenar, survival serta kejayaan sistem kewangan Islam yang dilaksanakan di Malaysia dan beberapa negara Islam di seluruh dunia dalam menangani krisis ekonomi. Inilah masa dan medan terbaik bagi negara Islam memperkukuhkan struktur dan produk kewangan Islam mereka serta mengenengahkannya kepada dunia sebagai pilihan utama kaedah pemulihan ekonomi global. Kemampuan sistem perbankan Islam tumbuh 15 peratus setahun mencerminkan ia bakal menjadi peneraju pasaran kewangan antarabangsa dengan cirinya tersendiri melawan arus deras institusi riba kapitalis.

Sistem kewangan Islam bersifat kurang risiko dan lebih kepada amalan perkongsian keuntungan di samping mampu melindungi sistem kewangan itu daripada krisis kewangan global seperti sekarang. Hakikatnya institusi kapitalis riba global sedang menuju kemelesetan dan pendokongnya bakal berdepan gelombang kemuflisan terbesar dalam sejarah yang membuka peluang kepada sistem kewangan Islam diterjemahkan kepada masyarakat dunia keseluruhannya. Islam sangat mementingkan kesejahteraan umat dan memerangi segala bentuk sistem atau struktur berteraskan riba yang memudaratkan kehidupan manusia. Firman Allah, bermaksud, “Wahai orang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkan saki baki riba jika kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidak meninggalkannya, isytiharlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya,” (Al-Baqarah: 278- 279). Oleh itu, krisis dihadapi AS dan Eropah kini membuktikan sistem konvensional semasa berteras riba mempunyai banyak kelemahan dan ketidakseimbangan berbanding sistem kewangan Islam yang bebas riba. Ia dilihat semakin kukuh dan mampu bertahan dalam apa jua keadaan ketika dunia bergelut zaman meleset dan pergerakan ekonomi perlahan serta tidak berdaya saing, dijangka bakal mempengaruhi banyak negara di seluruh dunia, termasuk negara maju. Ramai sarjana mengakui kesan positif krisis ekonomi dunia kini kepada sistem kewangan Islam yang berdaya tahan tinggi serta mempunyai pelan dan dana jangka panjang seperti institusi zakat, wakaf, baitul mal, sedekah, hibah dan sebagainya di samping inovasi dalam produk ekonomi Islam. Malah, ini menjadi petunjuk kepada institusi kewangan dan perbankan konvensional supaya mencontohi sistem perbankan Islam berdasarkan keupayaannya yang terbukti berjaya. Nilai keseluruhan aset kewangan Islam mencapai AS$1 trilion (RM3.52 trilion), malah turut dipraktikkan di lebih 75 negara, termasuk di negara yang didominasi masyarakat bukan Islam.

Sejak lima tahun lalu, pusat kewangan antarabangsa dilihat mula mempraktikkan sistem berkenaan, termasuk beroperasi di London, Singapura dan Hong Kong. Antara produk utama dihasilkan daripada kewangan Islam adalah Sukuk dan Malaysia adalah pasaran terbesar produk berkenaan dengan bon keseluruhan bernilai RM211.2 bilion. Ini kejayaan yang sangat baik dan perlu dipertahankan pada masa hadapan serta berusaha menambahkan lagi nilainya. Mungkin ada hikmahnya terhadap apa yang berlaku kerana masyarakat dunia mula membuka mata kepada kelebihan dan kewibawaan perbankan Islam. Diharapkan dengan perkembangan memberangsangkan di negara kita, banyak negara di Asia Barat akan melabur di sini kerana mereka sudah hilang keyakinan kepada pasaran dan situasi ekonomi di Barat. Dalam menangani krisis kewangan pada 1997, Malaysia bernasib baik kerana mempunyai kepemimpinan yang bijak, berani dan berwawasan untuk melaksanakan langkah drastik, termasuk mengawal tukaran asing terpilih yang berjaya menghalang berlakunya kesan kitaran ganas ke atas ekonomi dan sosial negara kita. Tambahan pula, industri perkhidmatan kewangan Islam seluruh dunia dijangka bernilai AS$2.8 trilion (RM9.57 trilion) menjelang 2010 nanti. Menurut Pengarah Unit Perbankan dan Kewangan Universiti Monash (Malaysia), Profesor Bala Shanmugam, jangkaan itu dibuat oleh Badan Perkhidmatan Kewangan Islam Malaysia dan Bank Pembangunan Islam Arab Saudi bersandarkan kepada semakin banyak negara dan institusi kewangan global menyediakan perkhidmatan dan produk kewangan Islam pada masa ini. Iklim ekonomi dan penyertaan yang semakin bertambah dalam industri itu membuka peluang kepada Malaysia dan negara Islam lain menjadi peneraju utamanya. Industri global pula kini bernilai sekitar AS$531 bilion (RM1.816 trilion), menunjukkan penerimaan menyeluruh terhadap produk kewangan Islam. Peserta sektor kewangan Islam tempatan juga bersedia untuk memasuki industri kewangan Islam antarabangsa berikutan penerimaan positif masyarakat global. Langkah untuk meningkatkan kesedaran terhadap perkhidmatan kewangan Islam semakin dipertingkatkan kepada masyarakat Islam dan bukan Islam, termasuk mendedahkan umum kepada aktiviti pasaran modal Islam serta perniagaan takaful yang berkembang pesat. Kerajaan konsisten mempelbagaikan konsep terbitan nota kewangan Islam sedia ada daripada berasaskan bai inah dan ijarah kepada murabahah yang mendapat sambutan. Dengan menerbitkan nota kewangan Islam menerusi struktur itu yang digunakan secara meluas di Timur Tengah terutamanya, ia boleh menyediakan platform bagi pelabur baru untuk melabur dalam kertas-kertas pembiayaan Islam dalam pasaran Malaysia. Sebagai sebahagian daripada inisiatif yang dikaitkan dengan pasaran kewangan Islam global, instrumen itu akan dipromosikan ke pasaran kewangan antarabangsa dari semasa ke semasa. Sambil dunia memperakui pentingnya membangunkan produk lindung nilai Islam dalam pasaran kewangan Islam untuk menangani risiko, Malaysia bangun memperkenalkan perjanjian derivatif Islam global bagi mendokumenkan transaksi derivatif Islam yang dimulakan bank pusat dan dipacu industri kewangan menerusi pakatan serta kerjasama bijak.


a)  Globalisasi Perkhidmatan

Kewangan Islam

Dengan aspek dimensi antarabangsa kewangan Islam menjadi semakin nyata, landskap kewangan telah melalui perubahan yang besar dengan pesertanya lebih pelbagai dan persekitarannya yang lebih kompetitif. Ini seterusnya menjadi pemangkin bagi peningkatan inovasi kewangan dan penghasilan rangkaian produk dan perkhidmatan kewangan Islam yang lebih luas. Perkembangan ini telah menarik minat peserta global konvensional dari negara-negara bukan Islam, terutamanya dari segi penyertaan yang meningkat dalam pasaran kewangan Islam dan perolehan kepentingan strategik dalam institusi kewangan Islam domestik. Dengan terbukanya peluang kepada institusi perbankan dan peserta lain, sistem kewangan Islam menjadi lebih pelbagai dan pasaran kewangan Islam semakin luas berkembang. Perkembangan ini telah menyumbang kepada pertumbuhan pesat kewangan Islam di seluruh dunia, dan kewangan Islam kini muncul sebagai antara segmen paling pantas pertumbuhannya dalam industri perkhidmatan kewangan. Susulan perkembangan tersebut, skop perniagaan kewangan Islam telah berkembang daripada hanya tertumpu pada pembiayaan runcit dan perdagangan, kepada penawaran produk kewangan yang lebih canggih untuk memenuhi permintaan pelanggan global yang berubah-ubah. Produk berasaskan Syariah ini termasuklah ekuiti swasta, pembiayaan projek, originasi dan terbitan sukuk, serta produk pengurusan dana, aset dan harta. Pasaran sukuk khususnya, telah menjadi saluran penting bagi aktiviti mendapatkan dana dan pelaburan antarabangsa, dan telah berkembang pada kadar 40% setahun. Potensi besar pasaran sukuk dalam sistem kewangan antarabangsa sememangnya merupakan kemuncak baharu inovasi dalam kewangan Islam malah merupakan bahagian penting proses globalisasi kewangan Islam. Sukuk Musyarakah dan Ijarah yang diterima secara meluas di peringkat global kini membentuk sebahagian besar terbitan sukuk global. 75 Buletin Suku Tahunan Suku Kedua 2008 Pembangunan struktur sokongan bagi kewangan antarabangsa merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk membangunkan kewangan Islam di peringkat antarabangsa. Antaranya ialah penubuhan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (Islamic Financial Services Board, IFSB) pada tahun 2002 untuk menetapkan piawai kehematan kewangan Islam, dan juga pewujudan Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan Institusi Kewangan Islam (Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions, AAOIFI) pada tahun 1990. Kedua-dua badan penetap piawai antarabangsa ini memainkan peranan penting dalam menyelaraskan piawai kehematan dan perakaunan merentas negara-negara yang berbeza. Apa yang lebih penting ialah peranan badan tersebut menghasilkan amalan terbaik antarabangsa dalam pembangunan kewangan Islam global. Lantaran usaha bersepadu untuk menghasilkan amalan terbaik antarabangsa yang kukuh dalam rangka kerja kehematan dan penyeliaan, daya tahan dan kemampanan jangka panjang industri kewangan Islam dapat dikekalkan. Globalisasi turut membawa bersama-samanya elemen saling bergantung yang lebih ketara. Meskipun kesalinghubungan yang lebih nyata ini dijangka menghasilkan pengagihan modal yang lebih cekap merentas sempadan, yang seterusnya mengurangkan kos modal, langkah ini juga boleh menyebabkan kemungkinan berlakunya pemindahan risiko merentas negara. Ini menekankan lagi keperluan untuk memastikan mutu globalisasi kewangan. Meskipun sifat intrinsik kewangan Islam sememangnya menggalakkan pengurusan risiko dan memberi keyakinan melalui penzahiran dan ketelusan, risiko baharu yang berpunca daripada globalisasi harus diambil kira. Ini bagi memastikan institusi kewangan Islam berupaya menguruskan risiko dan pihak berkuasa pengawalseliaan mempunyai peralatan yang perlu untuk menangani sebarang implikasi penyahstabilan.


b.) Munculnya Cabaran Baharu

Dimensi antarabangsa kewangan Islam yang kian nyata membawa bersama-samanya cabaran baharu. Kemunculan institusi kewangan Islam yang lebih pelbagai dan pembangunan pasaran kewangan Islam yang kian meluas telah mempercepat lagi perkembangan pengantara perbankan Islam, takaful dan pasaran modal yang canggih. Ini juga telah membawa kepada terciptanya instrumen kewangan berstruktur yang canggih dan kompleks termasuk struktur hutang-ekuiti hibrid. Persaingan yang kian sengit bukan sekadar mempercepat langkah inovasi produk dan perkhidmatan tetapi juga proses operasi dan saluran penyampaian. Perkembangan ini menyumbang kepada profil risiko urus niaga kewangan Islam yang semakin kompleks.


c) Inisiatif Strategik Global

Langkah-langkah kerjasama antarabangsa telah dilaksanakan berikutan kesedaran tentang betapa pentingnya daya tahan kewangan industri bagi perkhidmatan kewangan Islam diperteguh dalam persekitaran yang kian mencabar ini. Justeru, bagi menerajui pembangunan strategik industri ini, pelan Induk 10 tahun bagi pembangunan industri kewangan Islam global telah dilaksanakan. Pelan ini merupakan inisiatif bersama Islamic Development Bank (IDB) dan IFSB untuk menyediakan rangka tindakan pembangunan sistem kewangan Islam yang teratur merentas negara bagi mencapai matlamat yang sama, iaitu industri perkhidmatan kewangan Islam yang teguh, berkesan dan progresif. Rangka tindakan ini turut menggariskan strategi umum pembangunan komponen utama pelbagai bahagian sektor kewangan Islam. Antaranya, panduan untuk menentukan pilihan terbaik bagi tahap pembangunan berbeza sistem kewangan Islam agar ia dapat menyumbang kepada pertumbuhan dan  bangunan ekonomi, serta menjadi komponen penting sistem kewangan antarabangsa. Perlu ditekankan bahawa pelan induk ini bukan sekadar menyediakan rangka tindakan pembangunan sistem kewangan Islam yang jitu dan padu lagi komprehensif, tetapi ia juga menggalakkan pemahaman dan kesedaran yang lebih mendalam termasuk menyediakan Buletin Suku Tahunan Suku Keduaa 2008 76 maklumat tentang jangkaan tahap pencapaian yang diperlukan buat mereka yang ingin menyertai sistem kewangan Islam. Satu lagi inisiatif global yang penting dalam kewangan Islam ialah pengisytiharan piawai kehematan dan penyeliaan antarabangsa oleh IFSB. IFSB telah mempercepat penghasilan piawai ini bagi menangani risiko ciri-ciri kontrak kewangan Islam yang unik dan khusus. Dalam pelaksanaan piawai ini apa yang penting ialah pengukuhan keupayaan institusi kewangan mengurus risiko. Di samping itu, pelaksanaan piawai ini perlu diperlengkap oleh pengawasan yang berterusan agar dapat mengenal pasti dari awal lagi risiko yang baru muncul dan juga untuk memastikan institusi tersebut bersedia untuk menguruskan risiko.


d) Daya Tahan Diperkukuh oleh Ciri-Ciri Intrinsik Kewangan Islam

Ciri-ciri intrinsik kewangan Islam turut menyumbang kepada daya tahan keseluruhannya. Ini terbentuk daripada prinsip Syariah yang merupakan tunggak utama kewangan Islam. Injunksi Syariah menghendaki urus niaga kewangan diasaskan oleh aktiviti produktif yang menghasilkan kaitan rapat antara aliran kewangan dengan aliran produktif. Di bawah konsep perkongsian risiko, pembiaya kewangan dan peminjam saling berkongsi risiko. Dalam pengaturan sebegini, aktiviti benar dijangka menjana pulangan yang cukup untuk menampung risiko. Ekoran itu, pihak-pihak yang berurus niaga dilindungi daripada pendedahan kepada risiko yang melampau memandangkan prinsip Syariah melarang leveraj berlebihan dan penglibatan dalam aktiviti kewangan spekulatif. Oleh itu, prinsip intrinsik perkongsian keuntungan dan risiko menyediakan kaedah sekatan dan imbangan (check and balance) dalaman terhadap urus niaga kewangan Islam. Gabungan kesemua ciri tersendiri ini dan pelaksanaan piawai dan amalan pengurusan risiko berhemat dapat menyumbang kepada keteguhan dan daya tahan sistem kewangan Islam.

Seterusnya>>>Perkembangan

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan komen